Kota Bharu: Empat anak pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal tidak hadir ke sekolah masing-masing, semalam.
Mereka dipercayai masih bersedih sejurus mengetahui ibu bapanya dihadapkan ke Mahkamah Daerah Solna, Sweden selepas hampir sebulan ditahan reman.
Ketidakhadiran Aisyah, 15; Ammar, 13; Adam, 12 dan Arif, 8, masing-masing di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kala disahkan guru sekolah terbabit.



Kenang nasib ibu bapa
Difahamkan, selain masih bersedih mengenangkan nasib kedua ibu bapa mereka, peguam dari Kuala Lumpur dikatakan hadir di kediaman ibu saudara mereka mengambil keterangan empat beradik itu, susulan pendakwaan yang dilakukan terhadap pasangan berkenaan, kelmarin.
Keterangan empat beradik itu dikatakan penting bagi membantu ibu bapa mereka di sana sebelum perbicaraan pertama berlangsung pada 18 Februari ini.

Adik Shalwati, Shaleena ketika dihubungi BH semalam hanya memaklumkan empat anak saudaranya tidak hadir ke sekolah kerana mempunyai sedikit urusan dan meminta ruang supaya media tidak mengganggu mereka buat sementara waktu.
Pengarah Tourism Malaysia di Stockkholm, Azizul Raheem dan Shalwati dituduh melakukan kesalahan itu secara berulang antara 15 Disember 2010 hingga 17 Disember 2013. Perbicaraan dijangka berlangsung 10 hari.

Guru Besar SK Padang Kala, Ab Aziz Salleh, yang mengesahkan Adam dan Arif tidak hadir ke sekolah hanya dimaklumkan kerana mempunyai urusan tertentu oleh bapa saudara mereka.
Ditanya mengenai perkembangan dua beradik di sekolah itu, Ab Aziz berkata, Adam menunjukkan prestasi yang menggalakkan dalam kelas dan prestasi pelajaran cemerlang.
Kami tidak menyangka beliau dapat menyesuaikan diri dengan cepat dan aktif menjawab soalan dalam kelas. Malah, Arif juga dilihat selesa berkawan dengan rakan sekelasnya.

Tunjuk prestasi cemerlang
Melihat kepada prestasi yang ditunjukkan dua murid itu, kita percaya mereka dapat menguasai bahasa dengan cepat, katanya.
Sementara itu, guru di SMK Padang Kala yang enggan dikenali berkata, Aisyah dan Ammar tidak hadir ke sekolah tanpa dimaklumkan sebarang alasan kepada pihak sekolah.
 
Top