NILAI – “Emak dan ayah saya tidak kisah jika saya bersekedudukan kerana mereka tahu hubungan kami,” kata seorang pemuda berusia 25 tahun, yang ditahan bersama teman wanitanya ketika sedang seronok memadu asmara di sebuah bilik di hotel di sini, malam kelmarin.
Pekerja sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur itu memberi alasan dia menginap di situ bersama kekasihnya dikenali sebagai ‘Ana’, 28, kerana mahu berehat sementara menunggu penerbangan ke Bangkok jam 6 pagi.
Gambar Hiasan

“Kami ‘check in’ jam 8 malam kerana pada jam 6 pagi saya mahu menghantar Ana ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
“Dia mahu ke Bangkok tonton perlumbaan motosikal di sana bersama rakan-rakannya, sementara itu kami berehat di sini,” katanya.
Menurutnya, mereka juga sudah merancang untuk berkahwin dan kini dalam proses mengumpul wang.
“Keluarga saya tahu hubungan kami dan jika kami ditahan pada malam ini pun, mereka tidak kisah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, mereka antara tiga pasangan kekasih yang ditahan oleh penguatkuasa JHEAINS dalam Ops Valentine di dua buah hotel berasingan di sini.
Menurutnya, kesemua pasangan terbabit berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Sekyen 61(1) iaitu percubaan melakukan persetubuhan haram.
“Turut ditahan tiga wanita dan dua lelaki berusia 18 hingga 40 tahun kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah iaitu meminum minuman yang memabukkan,” katanya.
Malah dalam operasi berkenaan turut ditahan seorang remaja yang sedang menunggu keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).
Remaja perempuan berusia 18 tahun itu ditahan bersama empat lagi rakannya di sebuah pusat karaoke di sini atas kesalahan meminum minuman memabukkan.
“Saya mula minum lepas SPM dan biasanya saya minum lima cawan sahaja sebab baru belajar. Bila tertekan, saya akan minum arak,” katanya.
Sementara itu, di PORT DICKSON, pasangan muda berusia lingkungan awal 20-an merupakan yang paling ramai ditemui berdua-duaan di tepi pantai semasa Kempen Sayangi Diri anjuran Jabatan Amal Dewan Pemuda Pas Negeri Sembilan diadakan malam kelmarin.
Kebanyakan pasangan tersebut sedang menuntut di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) sekitar Negeri Sembilan.
Pengarah Kempen Sayangi Diri, Mahfuz Roslan berkata, kempen ini untuk menyantuni golongan yang belum bernikah tetapi bersama pasangan masing-masing dan berkelakuan salah di sisi Islam.
“Kita mahu mendidik masyarakat agar mereka tidak terikut-ikut dengan budaya Barat meraikan hari Valentine.
“Kempen seperti ini julung kali dilakukan Jabatan Amal negeri dan dari semasa ke semasa ia akan terus dilaksanakan dengan pendekatan yang lebih pelbagai,” katanya.

Sumber: suarainsan

 
Top