>SELAIN MEMBUAT BANTAHAN DI DEPAN KEDUTAAN MALAYSIA, MEREKA BERLAYAR UNTUK MEMBANTU PENGGANAS SULU DI SABAH
ZAMBOANGA 5 Mac - Beribu-ribu rakyat Filipina berketurunan Tausug dari pulau Basilan, Sulu dan Tawi-Tawi didakwa sedang belayar menuju ke Sabah bagi membantu pengganas Sulu, yang menceroboh Sabah.
Akhbar Filipina, Inquirer melaporkan Pengerusi Majlis Pemerintahan Islam Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Habib Hashim Mudjahab berkata, pihaknya tidak boleh lagi menghalang rakyatnya daripada mengambil tindakan.
"Kami bersedih dan kebanyakan rakyat kami walaupun bukan askar, sedang menuju ke Sabah bagi membantu pengikut Kesultanan Sulu," katanya.
Menurut beliau, kira-kira 10,000 kaum Sulu dari Basilan, Sulu, Tawi-Tawi dan Zamboanga sedang belayar menuju ke Sabah sejak malam tadi bagi membantu pengikut Sultan Jamalul Kiram III di Lahad Datu, Sabah.
Sementara itu, seperti yang dipetik dalam laman web Astro Awani, Gabenor Wilayah Pentadbiran Autonomi Islam Mindanao (ARMM), Mujiv Hataman menafikan dakwaan MNLF bahawa ribuan etnik Tausug sedang menuju ke Sabah.
Mujiv berkata, kenyataan MNLF pimpinan Nur Misuari itu disifatkan sebagai strategi untuk menakut-nakutkan rakyat Sabah.
"Itu tidak benar. Tiada sesiapa pun dari selatan Mindanao sedang bergerak ke Sabah," jelas Mujiv dalam satu kiriman mesej terbaharu kepada Astro Awani.
Menurut Mujiv, ARMM akan meneruskan usaha memujuk kumpulan penceroboh itu supaya berundur dan mengingatkan mereka mempertahankan persaudaraan atas nama Islam.